Wednesday, May 28, 2008

Sgor DUN approves ISA critics


Dun Selangor lulus usul kritik ISA
Mikini - Saidah Hairan
Tue | May 27, 08 | 1:29:00 pm MYT

SHAH ALAM, 27 Mei (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama yang berani meluluskan usul mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibahaskan dalam sidang Dun ke-12.

Sebelum usul tersebut dibahas dan diluluskan, Gerakan Mansuhkan ISA telah menyerahkan memorandum `Malaysia bebas daripada ISA" melalui Pengerusi, Syed Ibrahim Syed Noh kepada Menteri Besar, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, di lobi Avenue, SUK.

Penyerahan memo itu berikutan penahanan Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan (DAP) pada 13 Disember 2007 bersama lima rakan yang lain.

Usul tersebut dibawa oleh Adun Kampung Tunku (DAP), Lau Wen Sang yang dibahaskan bermula petang hingga jam 8.55 malam.

Usul bersejarah itu berbunyi: "Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Adun kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin-pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini."

Seramai enam Adun Pakatan Rakyat, termasuk dua bekas tahanan ISA, Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) dan Dr Mohamad Nasir Hashim (DAP-Kota Damansara) menyokong dan membahaskan usul tersebut.

Usul tersebut diluluskan sebulat suara oleh Dun Selangor tepat jam 9 malam.

Malangnya ketika usul itu dibahaskan semua Adun BN tidak berada di Dewan sejak jam 6 petang, Isnin 26 Mei.

Turut serta dalam perbahasan itu Adun Rawang, Gan Pi Nee (KeADILan), Adun Subang, Hannah Yeoh (DAP), Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad (KeADILan) dan Batu Caves, Amirudin Shari (KeADILan).

Saari Sungib dalam perbahasan menegaskan, apabila seseorang itu ditahan di bawah ISA dan dibawa ke suatu tempat mereka akan terkejut kerana di negara yang sudah merdeka 50 tahun tetapi masih mempunyai tempat yang amat menggerunkan.

Beliau ditahan ISA ketika berumur 41 tahun terkejut kerana berhadapan dengan manusia yang sangat buas dipaksa minum air kencing, dibogelkan, diugut dan sebagainya.

Menurut beliau, ISA merupakan undang-undang untuk mempertahankan kuasa Umno-BN dengan cara menakutkan rakyat supaya tiada siapa yang berani menyuarakan kebenaran.

"Pemerintahan BN lebih zalim daripada rejim zionis kerana tahanan sebelum dimasukkan ke ISA ditahan selama 60 hari tetapi rejim Zionis hanya menahan lapan hari saja," katanya.

Sementara itu, Lau turut menyifatkan akta tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip Islam.

"ISA juga bertentangan dengan ajaran agama. Misalannya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl," kata Lau, yang juga setiausaha DAP negeri.

"Penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat."

Bagi Dr Nasir pula, beliau berbangga dengan keberanian dan ketegasan Menteri Besar kerana sudi menghulurkan bantuan kepada isteri-isteri dan keluarga mangsa ISA.

Menurut beliau, ISA telah memperlekehkan perlembagaan dan perlembagaan itu menjadi sumbing dan songsang.

Katanya, penggunaan ISA itu dikekalkan kerana pemerintah BN selama ini takut dengan bayang-bayang sendiri. - mns

No comments: